Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan bermula pada 15 Januari 2012 dan akan diberikan dalam bentuk baucar tunai. Majlis-majlis penyerahan baucar BR1M kepada pemohon yang berjaya akan diadakan secara berperingkat di seluruh Negara.

Tempoh penyerahan baucar akan berjalan selama dua bulan, iaitu sehingga 15 Mac 2012. Ini bagi mempastikan pembayaran dapat dilaksanakan secara tersusun dan lancar agar tiada keciciran kepada pemohon yang layak menerima bantuan. 

Semua pemohon BR1M akan dimaklumkan mengenai keputusan permohonan melalui pos. Dalam tempoh dua bulan tersebut, setiap pemohon yang berjaya akan menerima surat pemakluman masing-masing secara berperingkat, dengan disertakan tarikh dan tempat majlis penyerahan baucar diadakan.

Pemohon juga boleh menyemak status permohonan mereka dengan menelefon talian hotline 1-800-222-500/ 1-300-88-3010 mulai 16 Januari 2012. Talian ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari bekerja.

UNTUK SIARAN SERTA- MERTA

Baucar-baucar boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional, CIMB dan Maybank diseluruh negara. Tempoh sah laku baucar adalah sehingga 15 April 2012.

Bagi memudahkan urusan orang ramai di kawasan luar bandar menunaikan baucar BR1M, Kerajaan telah menyediakan kaunter-kaunter bergerak Bank Simpanan Nasional, CIMB dan Maybank pada majlis-majlis penyerahan tersebut.

Sehingga 10 Januari 2012, sebanyak 4,123,713 borang BR1M telah diterima dari seluruh Negara. Daripada jumlah itu, 3,850,668 borang telah dimasukkan ke dalam sistem data bagi tujuan pengesahan. Sehingga 10 Januari 2012, sebanyak 3,102,054 permohonan yang telah diluluskan. Baki permohonan sedang melalui proses pengesahan dan dijangka selesai pada 13 Januari 2012.

Bagi pemohon yang lewat menyerahkan borang permohonan, Kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh penerimaan borang BR1M selama satu bulan, iaitu sehingga 10 Febuari 2012. Orang ramai masih boleh menghantar borangborang permohonan BR1M di pejabat cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan, sehingga tarikh tersebut.

Bagi pemohon yang gagal, rayuan semula boleh dibuat. Kementerian Kewangan telah menyediakan format khas untuk rayuan BR1M yang boleh di dapati di pejabat cawangan LHDN dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan, serta dimuat turun daripada laman web Kementerian Kewangan (www.treasury.gov.my).

Kementerian Kewangan Malaysia
12 Januari 2011

Source: Media Release From Ministry of Finance Malaysia